06 February 2016

Jodoh

Poster Kuliah Fiqh Munakahat anjuran Biro Muslimat Masjid SHAS UIAM Kuantan

"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." - Surah An-Nisa' 4:1

*****
             Hai, assalamualaikum.

            Tajuk kali ini memang agak klise. Al-maklumlah, tahun 2016 ni, aku dah masuk 24 tahun, umur yang sangat sesuai bagi wanita untuk mendirikan rumahtangga. Dah ramai pun kawan-kawan aku yang dah kahwin, dah bertunang, dah ada orang cop, yang dah beranak-pinak pun ada. Aku? Biarlah rahsia.

            Apa yang aku nak share kali ini bukanlah kad undangan kahwin aku (yang mungkin aku akan design sendiri nanti, insyaAllah), tetapi lebih kepada persoalan tentang jodoh. Jodoh ni adalah satu benda yang Allah dah tetapkan sejak kita di alam roh lagi. Siapa jodoh kita, bila kita akan kahwin, sampai bila jodoh kita akan bertahan, itu semua Allah dah tetapkan.

            Tetapi itu tak bermakna kita hanya perlu duduk kosong, mengelamun, menunggu jodoh tu datang bergolek pada kita. Oh, memang tak lah. Jodoh ni nak tak nak kita kena berusaha dan bersedia ke arahnya, bersedia untuk menerima seseorang yang baru yang akan hidup dengan kita setiap hari. Segala kebaikan dan keburukan dia kita kena terima, kena saling memahami, bertolak ansur, itulah antara rukun dalam berumahtangga. Acewah, cakap macam ada pengalaman la, haha.

            Bercakap tentang persediaan menuju alam rumahtangga, selain daripada menghadiri kursus kahwin untuk mendapatkan sijil kursus kahwin (kalau tak ada sijil tak boleh kahwin ye), sebagai seorang manusia yang bakal menjadi pasangan hidup kepada seorang manusia yang lain, banyak lagi perkara lain yang perlu diambil kira.

Bagi seorang perempuan, kenalah rajin-rajin masuk dapur, belajar masak, belajar jaga baby atau budak kecil, rajin mengemas, penyabar, kena pandai bahagikan masa, kena itu kena ini, banyak lagilah. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya ada pekerjaan tetap, ada harta sikit yang boleh menampung dan menanggung isteri dan anak-anak nanti, ada pengetahuan asas tentang agama, penyabar, boleh rendahkan ego dan sebagainya.

            Ha, bagi yang belum bertemu jodoh (belum berkahwin) macam aku, usah khuatir. InsyaAllah jodoh itu akan ketemu juga suatu hari nanti. Pesan seorang sahabat aku,

“Jodoh ni Allah akan temukan bila tiba masanya, bila kita benar-benar bersedia, yang betul-betul tahu kita ni dah bersedia atau tak adalah Dia.” - Kak Athirah

Dalam sebuah filem pendek Indonesia yang aku pernah tonton di Utube pula, dia ada sebut,

“Jodoh tidak akan datang tepat pada masanya tetapi akan datang pada masa yang tepat.”

Frasa yang agak memeningkan bukan? Haha. Maksudnya, jodoh itu akan datang pada masa yang tepat untuk kita, bukan pada masa yang kita rasa dah tepat. Faham tak eh?

            Satu lagi yang aku nak pesan, jangan letakkan harapan pada manusia, tapi letaklah pada Allah, pemilik segala hati. Sebagai contoh kita suka seseorang tetapi belum mampu untuk memilikinya bahkan meluahkannya. Jadi, cara yang terbaik bukanlah mengharap dia nampak kita dan sedar yang kita suka padanya, tetapi berdoa pada Allah. Doakanlah semoga dia benar-benar menjadi jodoh kita dunia dan akhirat. Jangan mengharap pada manusia, kelak akan kecewa (oh, aku pernah keciwa). Jika mengharap pada Allah, insyaAllah kita akan redha walaupun dia bukan milik kita.

Perkahwinan adalah satu perkara yang sangat menyeronokkan (exciting) apalagi dituntut dalam agama. Jadi, janganlah abaikan persediaan menuju alam rumahtangga. Sentiasalah berdoa kepada Allah semoga Dia temukan kita dengan seorang jodoh yang baik, kurniakan kita dengan kebahagiaan rumahtangga, perkahwinan diberkati, keluarga yang dibina kekal bahagia sampai ke syurga. Amin.

Dalam sibuk membuat persiapan untuk berkahwin, jangan lupa juga buat persiapan untuk alam kubur. Huhu. Semoga Allah berkati kita semua.

Sumber: Fitrah Islami Online

02 February 2016

COMBO: Antithesis & Tora Datang Lagi



Antithesis
Judul
Tora Datang Lagi
Benz Ali
Penulis
Amirul Bozu
Dubook Press Sdn Bhd
Penerbit
Dubook Press Sdn Bhd
253 muka surat
Jumlah Helaian
302 muka surat
September 2014
Cetakan Pertama
Mac 2015


            Kali ini saya ulas dua buah buku sekaligus. Kedua-duanya adalah ‘buku jalanan’ yang sedang malar segar, diterbitkan oleh penerbit yang sama, tetapi fokus dan isi penceritaan berbeza, juga ditulis oleh penulis berbeza. Buku-buku ini saya berjaya habiskan dalam masa dua minggu cuti semester baru-baru ini, (sebenarnya, dalam masa sehari dua pun boleh habis kedua-duanya).


Antithesis

            Apa itu antithesis? According to Merriam-Webster dictionary, antithesis simply means ‘the exact opposite of something or someone’ or ‘the state of two things that are directly opposite to each other’. Mudah kata, antithesis bermaksud berlawanan atau percanggahan. Judulnya sendiri sudah pun menggambarkan isi buku ini. Ia mengandungi kumpulan catatan-catatan pendek pandangan peribadi penulis, yang semestinya bertentangan dengan pandangan biasa dan penerimaan orang.

            Nama Benz Ali pernah beberapa kali menimbulkan kontroversi di Malaysia. Kelantangan beliau mengkritik isu membuatkan ramai yang resah, lagi-lagi kalau orang yang dikritik itu terkenal dan bernama besar. Hujah yang diberikan cukup lantang tetapi bersahaja. Walaupun pandangan beliau selalu menyakitkan hati, ia sebenarnya membuka mata hati kita untuk melihat sesuatu isu itu dari sudut pandang yang luar biasa, (itu pun jika anda fikir positif). Pada masa yang sama, ia menguji sejauh mana kita memahami dan sekuat mana kita berpegang teguh dengan pandangan yang kita pegang.

            Buku ini sesuai dibaca bagi anda yang ingin tahu tentang Benz Ali, pandangan beliau dalam isu-isu common bumi Malaysia, serta pandangan yang rare daripada pandangan orang kebanyakan. Kalau nak baca pula, bacalah dengan hati yang terbuka untuk menerima perbezaan pendapat. Kadang-kadang idea beliau ni boleh pakai juga. Pesan penerbit, “jika anda mudah tersinggung, jangan beli buku ini.”


Tora Datang Lagi

            Sewaktu saya memegang buku ini, anak saudara saya yang 6 tahun bertanya, “Mak Su, kenapa baca Tora Datang Lagi?” Budak kecil yang lahir dalam zaman milenium pun kenal saja mainan Tora ni, sejenis mainan dalam kotak yang disertakan dengan sepeket biskut bersalut coklat. Ia merupakan ‘abang’ kepada Din Dang dan ‘adik’ kepada JoJo.

Buku ini dipenuhi dengan memori zaman kanak-kanak tahun 90-an. Segala apa yang pernah dilakukan termasuk makanan, mainan, aktiviti harian pada zaman itu diceritakan dengan lengkap di dalam buku ini. Membaca buku ini seperti mengimbau kenangan zaman kanak-kanak dulu. Teringat pula saya pada kawan-kawan lama dan cikgu-cikgu sekolah.

            Kenangan dahulu sudah banyak yang hilang pada hari ini. Kalau kanak-kanak dahulu banyak bermain permainan mengeluarkan peluh seperti main kejar-kejar, polis dan pencuri, bola sepak, tuju kasut, galah panjang dan sebagainya, kanak-kanak sekarang lebih banyak menghabiskan masa di dalam aircond, bermain gajet dan PS. Tetapi, tak boleh juga nak salahkan ibu bapa kerana keadaan dahulu dan sekarang sangat berbeza. Ibu bapa berkerjaya. Tambahan pula, banyak kes penculikan dan jenayah berlaku pada masa kini.

            Gaya bahasa yang mudah difahami, teknik penceritaan yang sangat santai, ditambah dengan ilustrasi-ilustrasi menarik, ia sangat memudahkan pembaca memahami setiap cerita dan mengimbau kenangan silam. Walaupun tak semua aktiviti yang diceritakan di dalam buku ini sudah dilupakan (ada perkara yang masih dipraktikkan pada hari ini), ia sangat sesuai sebagai simpanan untuk masa hadapan. Bayangkan 50 tahun akan datang, buku ini boleh diulang baca dan boleh juga diberi kepada anak-anak untuk menggambarkan kehidupan ibu bapanya dahulu sebagai kanak-kanak 90-an.

            Saya sarankan anda beli dan baca buku ini. Bila anda baca, pasti anda akan tersenyum sendiri mengenangkan masa lalu. Selamat membaca.