27 December 2014

Virus Shortcut

          Saya selalu mendengar rungutan daripada rakan-rakan yang menyatakan bahawa pendrive mereka terkena virus. Apabila saya meminta untuk diperiksa, rata-ratanya terkena virus shortcut. Virus ini biasanya diperoleh daripada komputer yang dikongsi seperti di kafe siber, kedai cetakan, dan pusat komputer.

          Virus ini tidaklah terlalu merbahaya tetapi amat mengganggu kerana ia menyembunyikan file yang sudah disimpan di dalam pendrive tersebut. Bagi mereka yang tidak mengenali virus ini, ia biasanya akan menukar file yang ada kepada shortcut. Jadi, apabila kita ingin membuka file melalui shortcut tersebut, kita tidak akan berjaya kerana sistem tidak dapat mencari sumber asal file tersebut yang sudah pun disembunyikan oleh virus ini.

          Oleh yang demikian, saya ingin berkongsi langkah-langkah untuk memadamkan virus ini daripada pendrive. Tutorial ini saya dapat dari blog juga tetapi saya lupa nama blog tersebut. Kepada pemilik asal tutorial ini, saya ingin berterima kasih kerana berkongsi tutorial yang sangat berguna ini dan saya juga ingin memohon izin tuan untuk berkongsi di blog saya pula.

  1. Kenalpasti lokasi pendrive sama ada di G:, H:, I:, J:, atau selain daripada itu melalui My Computer.
  2. Scan pendrive tersebut menggunakan antivirus yang terdapat dalam komputer anda.
  3. Dalam My Computer tadi, klik pada butang Organize yang ada di bahagian atas. Kemudian, pilih Folder and search options.

  4. Di bahagian View, klik pada pilihan Show hidden files dan kosongkan pilihan Hide extensions dan Hide protected. Setelah itu, klik butang OK.
  5. Klik butang Start di desktop. Dalam kotak Search programs and files, taipkan Run dan tekan Enter di papan kekunci.
  6. Buka aplikasi command dengan menaip cmd dalam ruangan yang disediakan dan klik butang OK.

  7. Dalam aplikasi ini, taipkan attrib -h -r -s /s /d g:\*.* dan gantikan huruf g dengan lokasi pendrive anda. Kemudian, tekan butang Enter dan tunggu sehingga arahan berikutnya muncul.

  8. Buka lokasi pendrive tadi dan padamkan semua shortcut files yang ada.
  9. Dalam My Computer, setkan semula Folder and search options kepada keadaan asal.
          Mudah sahaja cara untuk memadam virus shortcut dalam pendrive. Selepas ini, bolehlah anda kongsikan dengan rakan-rakan anda pula. Selamat mencuba.

11 October 2014

Syahadah Gadis Ateis



Penulis                         : Imran Haaz
Penerbit                       : PTS Islamika Sdn. Bhd.
Jumlah Helaian            : 377 muka surat
Harga Pasaran             : RM 16.00 (SM), RM 18.00 (SS)


            Novel ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Nizam yang ingin pulang ke kampung halamannya sempena cuti semester pada tahun 1997. Dengan berpakaian yang agak selekeh bersama sebuah gitar kapuk, dia menaiki kereta api dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur ke Bukit Mertajam. Di awal perjalanan, dia bertemu dengan seorang gadis ateis bernama Rina yang ingin ke Butterworth untuk bertemu dengan seorang bekas paderi Kristian bernama Josiah.

Perjalanan tersebut menjadi luar biasa apabila Nizam mula dihujani dengan pelbagai soalan maut tentang agama Islam oleh Rina. Walaupun Nizam hanyalah seorang pelajar jurusan Sains di UiTM Shah Alam, dia berusaha sedaya upaya menjawab setiap persoalan tersebut dengan hujah dan fakta yang berasas. Antara soalan-soalan yang diutarakan oleh Rina kepada Nizam ialah:

  • Mengapa saya perlu menyembah Allah?
  • Saya tidak akan menyembah Tuhan yang saya tidak nampak. Buktikan yang Allah itu ada!
  • Mengapa Allah? Kenapa bukan tuhan lain?
  • Kenapa Allah tidak pernah memakbulkan doa-doa saya? Sedangkan Allah berjanji setiap doa yang dipohon hambanya dimakbulkan!
  • Jika Allah maha penyayang, mengapa orang kafir dibakar selama-lamanya di dalam neraka?
  • Mengapa ada banyak agama di dunia ini? Kenapa tidak satu sahaja dari zaman Nabi Adam?
  • Awak cakap kitab-kitab agama terdahulu tercemar dengan tulisan-tulisan tangan manusia. Boleh buktikan? Setakat cakap, sesiapa pun boleh cakap. Buktikan!
  • Saya terbaca dalam banyak media dan internet mengatakan Islam adalah agama yang menindas wanita. Adakah benar?
  • Jika awak katakan yang Islam itu adil, kenapa hanya lelaki dibenarkan kahwin sehingga empat orang? Sedangkan wanita hanya dibenarkan berkahwin dengan seorang suami. Bukankah itu tidak adil?
  • Mengapa pula berlaku diskriminasi pada wanita dalam pembahagian harta pusaka? Bukankah Islam mengutamakan hak wanita dalam semua perkara?
  • Kenapa Allah menyuruh para malaikat dan iblis menyembah Nabi Adam? Sedangkan menyembah makhluk adalah perbuatan mensyirikkan Allah.
  • Apa yang saya tahu, Nabi Muhammad menerima wahyu pertama ketika beliau berumur 40 tahun. Jadi, apa agama Nabi Muhammad sebelum dilantik menjadi rasul?
  • Mengapakah hukum hudud di dalam al-Quran seperti terlalu kasar? Bukankah tidak bertamadun hukuman sebegitu?

Secara peribadi bagi saya, naskhah ini bukanlah sebuah novel tetapi sebuah bahan bacaan ilmiah yang perlu dibaca oleh setiap insan terutamanya bagi mereka yang ingin lebih mengetahui tentang agama Islam. Naskhah ini memberi jawapan lengkap kepada setiap persoalan yang biasanya diutarakan oleh golongan yang mempunyai salah faham tentang Islam termasuk mereka yang menentang agama ini.

Setiap persoalan dijawab dengan hujah dan fakta yang berasas bersumberkan al-Quran serta dibandingkan dengan kitab suci agama-agama lain seperti Kristian, Yahudi, dan Hindu. Selain itu, penulis juga membawa beberapa contoh bagi memudahkan lagi kefahaman pembaca. Gaya bahasa dan teknik penceritaan yang agak santai pula membuatkannya berbeza dengan bahan bacaan ilmiah yang lain.

Ketika membaca buku ini, saya seolah-olah membaca buku The Choice tulisan Sheikh Ahmad Deedat dan menonton siri dialog perbandingan agama Dr. Zakir Naik. Naskhah ini merupakan keperluan penting bagi mereka yang belum menemui jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut. Ia juga boleh dijadikan panduan dan rujukan bagi menjawab salah faham masyarakat terhadap agama Islam. Selamat membaca.